Tuesday 30 October 2018


IBN HAYYAN ( 721M – 776M )

Siti Nurulhuda binti Mohd Anuar
https://sitinrlhuda.blogspot.com/
(Isnin : 4.00 petang)


IBN HAYYAN atau nama sebenarnya Abu Musa Jabir bin Hayyan  dilahirkan pada tahun 721M di Tus, Iran. Di sebelah  barat pula, beliau lebih dikenali sebagai ‘Geber’. Bapa beliau merupakan seorang saudagar ubat di kota Kufah. Pada akhirnya bapa beliau mati terkorban sebagai mubaligh syiah. Ibn Hayyan telah menerima pendidikannya dari raja bani Umayyah, iaitu Khalid Ibn Yazid  Ibn Muawiyah, dan imam tersohor, Jaafar al-Sadiq. Ibn Hayyan mempunyai pertalian keluarga dengan Barmaki, iaitu seorang wazir kepada khalifah Harun al-Rasyid. Ibn Hayyan menguasai pelbagai bidang  ilmu antaranya falsafah, sains tabii dan kimia. Ibn Hayyan merupakan tokoh kimia yang unggul. Kehebatan beliau dalam bidang kimia diakui oleh Eropah dan masyarakat Islam. Ibn Hayyan berjaya mengubah persepsi tentang berbagai kejadian alam pada saat itu dianggap sebagai sesuatu yang tidak dapat diramalkan, menjadi suatu ilmu sains yang dapat difahami dan dipelajari oleh manusia.                                                                                                                                                     

             Sehingga abad pertengahan, karya-karya Ibn Hayyan dalam bidang kimia, termasuk kitabnya yang masyhur , iaitu kitab Al-Kimya telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Latin. Terjemahan kitab  Al-Kimya bahkan diterbitkan oleh tokoh ilmuwan Inggeris, Robert Chester pada tahun 1144M dengan nama Book of Composition of Alchemy. Terdapat seorang lagi ilmuwan Inggeris yang bernama Richard Russel yang menterjemahkan buku Ibn Hayyan dengan nama Sum of Perfection. Ibn Hayyan banyak melibatkan diri dalam penyelidikan berkaitan  perubatan dan kimia. Justeru itu, para cendekiawan Eropah mendakwa bahawa terdapat 100 buah karya yang menceritakan  tentang kimia dan logam. Kehebatan beliau dalam menghasilkan karya, telah membuatkan buku tersebut menjadi sangat popular di Eropah selama beberapa abad lamanya dan telah memberi pengaruh yang besar pada evolusi ilmu kimia moden.

             Ibn Hayyan merupakan tokoh falsafah yang sangat hebat dalam bidang sains dan tabii. Beliau sangat terkenal dengan teorinya berkaitan  ilmu kimia. Antara salah satu falsafahnya berkaitan  kimia ialah tentang teori belerang-raksa dan teori kesinambungan atau al-Mizan. Belerang-raksa di sini bukanlah memberi definisi sebagai bahan belerang dan logam raksa zahir, tetapi ia menunjukkan simbol kimia atau jantan dan betina. Di mana apabila terjadinya proses percantuman di antara dua benda itu, maka ia akan menghasilkan penjelmaan sebagai kejadian. Menurut pandangan Ibn Hayyan, kedua-dua benda itu berupa natijah atau keputusan daripada gabungan empat sifat, iaitu: panas, sejuk, kering dan lembap serta gabungan empat unsur, iaitu: tanah, air, api dan udara. Justeru itu, kimia Ibn Hayyan menerangkan bahawa semua logam terjelma ke alam nyata adalah hasil daripada pencantuman belerang dengan raksa dengan  mengikut nisbah-nisbah yang berlainan dan dibawah suatu pengaruh daripada cakerawala. Tambahan lagi, cakerawala memberi pengaruh yang penting dan sangat diperlukan untuk memastikan suasana persekitaran bumi sentiasa berada dalam keadaan harmoni dan tertib. Hasil teori beliau tentang belerang-raksa jantan dan betina ini telah menghasilkan teori lain pada abad ke-20, iaitu teori asid-bes. Maka hasil percantuman antara kedua ini dapat menghasilkan garam. Dalam kimia Islam, jantan betina atau negatif positif ini bukanlah terhad kepada logam sahaja, bahkan lebih meluas terhadap makhluk dan binatang lain dan kembali kepada hakikat asal kejadian alam semuanya berpasangan. Hakikat bahawa semua alam dan makhluk adalah berpasangan diakui dan diterima oleh masyarakat dan sains moden sehingga sekarang.

                                                                            RUJUKAN  

Ab. Latif b. Muda & Rosmawati bt. Ali @ Mat Zin. 1997. Pengantar Ilmu Mantik. ILHAM ABATI ENTERPRISE.

Abdul Rahman HJ. Abdullah. 2002. Tradisi Falsafah Ilmu Penghantar Sejarah dan Falsafah Sains. PUSTAKA ILMI.